Pas Puji Tun M Berkata Benar – Pas Tidak Pernah Mendoakan Kegagalan PH dalam Menunaikan Janji Manifesto

Pas Puji Tun M Berkata Benar – Pas Tidak Pernah Mendoakan Kegagalan PH dalam Menunaikan Janji Manifesto

VIDEO PENUH :

KUALA LUMPUR – Pas memuji pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PH hanya berjaya menunaikan 21 daripada 60 janji manifestonya dalam tempoh 100 hari.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia satu permulaan baik kepada politik baru yang bersifat lebih jujur dan rendah diri dalam menghadapi kegagalan dan kelemahan sendiri.

Katanya, ia berbeza dengan sikap kerajaan terdahulu yang mengamalkan sikap suka menegakkan benang basah.

“Meskipun di dalam konteks pelaksanaan 100 hari, PH hanya sekadar mampu menunaikan tiga daripada 10 janjinya kepada rakyat. Pas percaya jika PH ikhlas dan tekad untuk menunaikan janjinya, semua janji akan dapat dilaksanakan meskipun ada perkara di dalam manifesto PH yang Pas tetap tidak bersetuju.

“Pas tidak pernah mengharapkan PH gagal menunaikan janji-janjinya kerana kegagalan itu hanya membawa kesengsaraan kepada rakyat dan juga negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, PH memerlukan pembangkang yang kuat bagi memastikan mereka tidak leka daripada menunaikan janji kepada rakyat.

“Sebagai pembangkang, Pas perlu memainkan peranannya sebagai semak dan imbang kepada kerajaan. Menyokong apabila agendanya baik kepada rakyat dan Islam, membantah jika ia tidak baik dan memberikan kritikan supaya ia dapat berubah sebelum terlambat.

“Diharap demokrasi negara akan menjadi matang sekiranya semua parti politik dapat saling menasihati dan mengkritik. Bukan untuk menjahanamkan pihak lain tapi demi membawa yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Menurut beliau, di kempen PRK Seri Setia dan Balakong, Pas akan berkempen untuk menarik rakyat bagi menguatkan barisan pembangkang di Selangor demi kesuburan demokrasi dan menambah suara semak dan imbang di Dun Selangor.

“Oleh itu, kekalahan PH di dua PRK bakal menjadi pemangkin kepadanya untuk berusaha melaksanakan manifestonya tanpa leka, dan yang untung pada akhirnya ialah rakyat Malaysia dan negara.

“Kepada pengundi Seri Setia dan Balakong, berilah undi untuk menguatkan pembangkang di PRK Seri Setia dan Balakong. Insya- ALLAH seluruh rakyat akan mendapat manfaat daripada keputusan itu,” katanya

SUMBER : Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *